
Pengenalan
Kitab Al-Hikam dikarang dan disusun oleh Al-Imam Ahmad bin Muhammad bin Abdul Karim bin Abdul Rahman bin Abdullah bin Ahmad bin Isa ibn Hussain ibn Athoillah (ابن عطاء الله السكندري). Beliau seorang waliyullah, al-‘arifbillah, ahli kasyaf, ahli nahu Arab, ahli fiqh dan ahli hadis. Antara guru beliau yang paling dekat ialah Ahmad bin Hasan bin Ali al-Khazraji al-Anshari al-Mursi (Imam Abul Abbas Al-Mursi), iaitu murid Abul Hasan As-Syadzili. Dalam bidang fiqh beliau merupakan pengikut dan seorang yang alim tentang Mazhab Maliki, manakala dalam bidang tasawuf beliau adalah pengikut sekaligus tokoh ketiga dalam tarikat Syadziliyah, satu tarikat kesufian yang didirikan oleh Syeikh Abul Hasan As-Syadzili.
Sepeninggalan gurunya Abul Abbas Al-Mursi tahun 686H, Ibnu Atho’illah menjadi penggantinya dalam mengembangkan tarikat Syadziliah. Dikatakan bahawa, Ibnu Atho’illah merupakan individu yang pertama menghimpun ajaran-ajaran, pesan-pesan, doa dan biografi keduanya, sehingga khazanah tarikat syadziliah tetap terpelihara. Kitab Al Hikam karangan beliau adalah salah satu khazanah ilmu tarikat As-Syadziliah yang sangat berharga dan bermanfaat kepada kita yang membaca, memahami, beramal, istiqomah dan menyampaikannya kepada orang lain.
Syeikh Muhammad Hayyat As-Sindhi mengatakan bahawa di dalam Kitab Al-Hikam mengandungi 264 hikmah. Kemulian Kitab Al-Hikam Ibnu Athoillah As-Sakandari رَحِمَهُ اللهُ ini begitu besar sekali sehingga dikatakan oleh sebahagian ulama;
Andai kata di dalam solat itu boleh kita membaca selain daripada Al-Quran, maka kitab Al-Hikam ini layak dijadikan penggantinya, kerana kehebatan lafaz dan maknanya yang mengandung ilmu-ilmu yang bermanfaat bagi mereka yang membaca dan memahaminya.
Al-Hikam adalah jama’ bagi perkataan ‘hikmah’; ertinya ialah tiap-tiap kalimat yang terkandung di dalamnya ilmu yang bermanfaat. Sebahagian ulama bahasa Arab berpendapat bahawa ‘hikmah’ ertinya ialah ‘materi ilmu yang bermanfaat’, seperti ilmu Fiqh, ilmu Tauhid, dan ilmu tasawuf. Dan oleh kerana ilmu tasawuf adalah suatu ilmu yang mengupas bagaimana mensucikan diri dari sifat-sifat tercela dan menjaga ibadat dan semua amal perbuatan terhindar dari penyakit-penyakit berbahaya seperti takabbur, riya’ dan ‘ujub, maka mengetahui semuanya ini adalah ilmu yang paling bermanfaat.
Justeru, dalam Kitab Al-Hikam diterapkan lebih banyak tentang hakikat ilmu tauhid dan ilmu tasawuf. Memang indah kalimat-kalimat Al-Hikam dengan rumusan-rumusannya yang mendalam, kalimat-kalimatnya menarik dan bersajak, dan merupakan mutiara-mutiara yang terpisah-pisah, tetapi terikat dengan ikatan untaian yang indah pula. Al-Hikam mengungkapkan jalan makrifat kepada Allah dan sifat-sifat-Nya yang Maha Agung, apakah melalui dalil naqli dan aqli, ataupun melalui penglihatan batin dan matahati. Dalam pada itu pula Al-Hikam mengungkapkan hal-hal yang dikaitkan dengan jiwa kita, hati kita dan roh kita bersih dari segala macam kotoran, makrifat kita kepada Allah akan menjelma dengan segera tanpa dibuat-buat atau disengajakan. Kerana itu Imam Ghazali رَحِمَهُ اللهُ berfatwa bahawa mempelajari ilmu keterpaduan antara tauhid dan tasawuf itu hukumnya fardhu ‘ain, kerana di samping tauhid itu sendiri, hati manusia juga tiada sunyi dari aib atau penyakit hati kecuali hanya para Nabi a.s.
Al-alim alallamah al-‘arifbillah al Imam Ahmad Ibnu Atho’illah As-Sakandari رَحِمَهُ اللهُ dilahirkan di Alexandria, Mesir dan meninggal dunia pada 709H/1309M. Semoga Allah merahmati beliau dan mengurniakan kepada kita keampunan, rahmat, kefahaman, amal ibadat dan husnul khotimah seperti yang telah dikurniakan Allah kepada beliau.
Biodata Ringkas Tuan Guru
Tuan Guru Kiyai Haji Muhammad Bakhiet atau lebih dikenali oleh masyarakat setempat dengan panggilan Guru Bakhiet, dilahirkan pada 1 Januari 1966 di Telaga Air Mata, Kampung Arab, kabupaten Hulu Sungai Tengah. Ayah beliau ialah Tuan Guru Haji Ahmad Mughni (Nagara) bin Tuan Guru Haji Ismail (Alabio) bin Tuan Guru Haji Muhammad Thahir (Alabio) bin Khalifah Haji Syihabuddin (Pulau Penyangat-Kepulauan Riau) bin Maulana Syekh Muhammad Arsyad al-Banjari (Martapura).
Tutur bicaranya lembut. Kata-katanya penuh hikmah, ringkas, tersusun kemas seumpama bait-bait syair yang dikarang. Nasihatnya umpama air dingin mengalir perlahan mencairkan jiwa-jiwa yang beku. Penerangannya dalam membicarakan sesuatu seumpama menyingkap tirai yang lama tertutup. Sungguh, dapat ditemukan mutiara berharga pada setiap siri kuliyyah untuk mereka yang mengembara mencari penawar bagi hati.
Melalui susur galur seperti yang dinyatakan, dapatlah kita mengetahui bahawa susuk tubuh Tuan Guru Muhammad Bakhiet ini adalah keturunan ulama terkemuka nusantara, pengarang kitab fiqh kitab Sabilal Muhtadin iaitu Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari.

Tuan Guru Kiyai Haji Muhammad Bakhiet yang juga seorang guru Tariqat Alawiyah merupakan seorang ulama yang sangat dihormati dan disegani. Ilmu dan akhlak beliau menyerlahkan lagi karisma beliau sehinggakan masyarakat sangat menghormati beliau melebihi daripada golongan pemerintah. Maka, tidak hairan jika pengajian mingguan di Pondok Pesantren Nurul Muhibbin Barabai dan Balangan, Kalimantan Selatan dihadiri oleh ribuan jemaah untuk mengaji serta sekaligus mengambil berkat berkumpul di dalam majlis ilmu yang dikatakan oleh Baginda Nabi sebagai salah satu daripada taman-taman syurga.
Sama-sama kita berdoa, semoga Allah memberikan Tuan Guru kesihatan dan memanjangkan usia beliau agar kita sama-sama dalam mengambil berkat dan menumpang secebis ilmu daripada lautan ilmu yang ada di dada beliau.
Sepatah kata daripada al faqir
Video kuliah yang dokumentasi ini adalah himpunan kata-kata hikmah dari kitab Al-Hikam yang membicarakan mengenai ilmu tauhid dan tasawwuf yang berhubungan rapat dengan akidah Islam dan permasalahannya serta mencakup segala ciri-ciri utama tentang tasawuf kebatinan yang memang perlu bagi setiap salik yang mencari kebahagiaan hakiki dalam menuju makrifat kepada Allah, yang suci daripada segala hal-hal yang mengelirukan hati serta mengeruhkan keikhlasan diri.
al faqir hanya menyambung usaha pendahulu-pendahulu yang telah banyak berjasa (semoga usaha-usaha murni mereka dirahmati dan diberkati Allah) dalam menyebarkan video kuliah Syarah Hikam Ibnu Atho’illah As-Sakandari yang disampaikan oleh Tuan Guru Kiyai Haji Muhammad Bakhiet untuk tatapan masyarakat yang dahagakan ilmu agama.
al faqir mendokumentasi video kuliah dengan menambah matan dan terjemahan serta menyediakan pautan navigasi mengikut siri kuliah agar memudahkan pengunjung menonton video-video kuliah seperti yang dapat di lihat di bawah ini. Dalam proses mendokumentasi, sebagai manusia yang punya kelemahan, al faqir tidak terlepas daripada melakukan kesilapan-kesilapan, oleh itu, sekiranya pengunjung menemui sebarang ralat atau kesilapan, pengunjung dialu-alukan untuk menghubungi al faqir melalui pautan berikut : hubungi al-faqir
Semoga usaha kecil ini memberikan manfaat kepada kita semua dalam mencari secebis ilmu yang memberi penawar kepada hati-hati yang selalu terlalai.
ياالله بِها ياالله بِها ياالله بِحُسْنِ الخاتِمة
ياالله بِها ياالله بِها ياالله بِحُسْنِ الخاتِمة
ياالله بِها ياالله بِها ياالله بِحُسْنِ الخاتِمة
Senarai Himpunan Video Kuliah Yang Menghuraikan Kata-Kata Hikmah Syeikh Ibnu Atha’illah As-Sakandari رَحِمَهُ اللهُ
| مقدّمة | 1 | 2 | 3 |
| 4 | 5 | 6 | 7 |
| 8 | 9 | 10 | 11 |
| 12 | 13 (1) | 13 (2-4) | 14 |
| 15 | 16 | 17 | 18 |
| 19 | 20 | 21 | 22 |
| 23 | 24 | 25 | 26–27 |
| 28 | 29-30 | 31 | 32 |
| 33 | 34 | 35 | 36 |
Sumber rujukan:
- Ilustrasi Kitab Hikam – nahdlatululama.id
- Instagram Nurul Muhibbin 232
- Wikipedia
- Nurul Muhibbin Barabai dan Balangan
- Blog Urang Banjar Hulu