Covid 19

Apa yang anda perlu tahu tentang Coronavirus?

Coronavirus(CoV) adalah famili virus yang menyebabkan pelbagai penyakit dari selesema hingga ke penyakit lebih teruk seperti MERS-CoV dan SARS-CoV. Novel Coronavirus pula merujuk kepada spesis baru yang belum pernah ditemui oleh manusia.

Pada awalnya, Coronavirus atau lebih dikenali sebagai Covid-19 iaitu singkatan bagi Coronavirus Disease 2019 (Penyakit Coronavirus 2019), ini dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei di China pada Disember 2019. Selepas itu, jangkitan ini telah dilaporkan di seluruh dunia.

Berdasarkan maklumat terkini, Covid-19 berjangkit dari individu ke individu melalui titisan pernafasan atau sentuhan.

Analisis dan statistik Covid-19 di negara kita dan seluruh dunia

Perhatian: Data ini sentiasa berubah dari masa ke semasa mengikut maklumat yang dikunci masuk dari setiap lokasi seluruh dunia. Kemungkinan jumlah yang terpapar di sini tidak mewakili jumlah yang tepat. Maklumat mengenai kes yang dilaporkan juga boleh didapati di laman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

Kronologi Penularan Wabak COVID-19 di Malaysia

  • 23 Januari

    Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) terima laporan tiga kes (dua di Sabah dan satu di Selangor) disyaki dijangkiti coronavirus 2019 (2019-nCoV).

    KKM sahkan kes di Sabah negatif.

  • 24 Januari

    KKM maklumkan lapan kontak rapat kepada kes pertama 2019-nCoV di Singapura berada di Johor Bahru dan dikuarantin.

  • 25 Januari

    Menteri Kesihatan (ketika itu) Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, sahkan kes pertama 2019-nCoV babitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Januari.

    KKM nasihatkan jangan melancong ke China jika tiada keperluan.

  • 26 Januari

    KKM rancang tambah alat imbasan suhu badan di pintu masuk negara.

  • 27 Januari

    KKM mengenal pasti 26 hospital di seluruh negara sebagai langkah kesiapsiagaan bagi mengendali kes disyaki jangkitan 2019-nCoV yang memerlukan pemeriksaan dan rawatan lanjut.

    Kerajaan menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat China dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei serta sekitarnya, berkuat kuasa serta-merta.

  • 28 Januari

    Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri´ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah semua masjid di seluruh negara adakan solat hajat.

    Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menubuhkan Jawatankuasa Pemulihan Pelancongan bagi memantau perkembangan semasa berhubung isu 2019-nCoV.

  • 29 Januari

    KKM sahkan pertambahan tiga kes positif 2019-nCoV, jumlah kumulatif kes positif ialah tujuh.

    Perdana Menteri (ketika itu), Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Malaysia dalam persediaan membawa balik rakyat tempatan dari Wuhan, China.

  • 30 Januari

    KKM sahkan satu pertambahan kes positif 2019-nCoV dalam kalangan kontak rapat (kes kelapan), jumlah kumulatif kes positif 2019-nCoV ialah lapan.

    Sebuah jawatankuasa khas bagi misi bantuan kemanusiaan membawa pulang rakyat Malaysia dari wilayah Hubei, China diaktifkan susulan penularan jangkitan 2019-nCoV di wilayah itu.

    Jawatankuasa diselaraskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama Kementerian Luar, Kementerian Kesihatan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    Kerajaan Sabah mengambil keputusan menggantung sementara semua penerbangan berjadual dan disewa khas dari China ke Sabah berkuat kuasa serta-merta sehingga diberitahu kelak.

  • 31 Januari

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan coronavirus sebagai darurat kesihatan dunia.

  • 1 Februari

    Semua warga China dan warga asing yang mengunjungi China dalam tempoh 14 hari disekat memasuki Sarawak sehingga dimaklumkan kelak.

    Kedutaan Besar Malaysia di Beijing menghantar sepasukan peninjau ke Wuhan bagi menyelaras dan membantu proses membawa pulang 120 rakyat Malaysia di wilayah Hubei susulan penularan wabak 2019-nCoV di negara itu.

  • 4 Februari

    Malaysia membawa pulang 107 individu yang terdiri daripada rakyat Malaysia dan pasangan serta anak mereka yang terkandas di bandar Wuhan, yang disekat pergerakan keluar dan masuk oleh kerajaan China susulan penularan wabak 2019-nCoV sejak 23 Januari.

    Seorang lelaki rakyat Malaysia berumur 41 tahun dari Selangor, antara dua kes baharu yang dilaporkan positif 2019-nCoV dan satu lagi lelaki warga China berumur 63 tahun yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 18 Januari.

    Pertambahan dua kes baharu positif itu menjadikan jumlah kumulatif kes ialah 10.

    Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan menstruktur semula kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TM2020) dengan menyasarkan pasaran negara baharu susulan isu jangkitan coronavirus 2019.

  • 5 Februari

    Sejumlah 74 orang dikenal pasti melalui pengesanan kontak susulan kes pertama rakyat Malaysia dijangkiti 2019-nCoV. Daripada jumlah itu, 35 kontak rapat dikesan dan sampel diambil daripada mereka serta diletak di bawah Perintah Pengawasan dan Pemantauan.

    Dua daripada 107 individu yang tiba di tanah air menerusi Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) disahkan positif 2019-nCoV, menjadikan jumlah kumulatif kes positif kluster koronavirus di Malaysia ialah 12.

  • 6 Februari

    Seorang wanita rakyat Malaysia menjadi kes pertama jangkitan tempatan dan wanita warga China dari Wuhan menjadi dua individu terbaru disahkan positif virus itu, menjadikan jumlah positif 2019-nCoV di Malaysia ialah 14 kes membabitkan 10 warga China dan empat rakyat tempatan.

  • 7 Februari

    Satu lagi kes positif 2019-nCoV dikenal pasti, menjadikan jumlah kes positif meningkat kepada 15 dengan kes terbaharu membabitkan pelancong wanita berumur 59 tahun dari Wuhan, China yang masuk ke Malaysia pada 21 Januari.

  • 8 Februari

    Seorang wanita warga China dari Wuhan menjadi individu terbaharu positif kluster 2019-nCoV, menjadikan angka keseluruhan jangkitan dalam negara berjumlah 16 kes.

  • 9 Februari

    Seorang wanita tempatan berusia 65 tahun disahkan positif 2019-nCoV, menjadikan angka keseluruhan jangkitan dalam negara 17 kes. Wanita itu adalah ibu mentua kes rakyat Malaysia yang dilaporkan pada 4 Februari, iaitu kes kesembilan.

    Malaysia mencatat 18 kes positif 2019-nCoV termasuk tiga kes pulih sepenuhnya. Kes terbaharu membabitkan seorang lelaki rakyat Malaysia berumur 31 tahun yang bekerja di Macau dan kembali ke Malaysia pada 1 Februari.

  • 11 Februari

    Kerajaan Malaysia dan Singapura bersetuju menubuhkan satu Jawatankuasa Kerja Bersama berikutan penularan jangkitan 2019-nCoV yang diterajui timbalan menteri kesihatan kedua-dua negara.

  • 12 Februari

    KKM menerima tambahan 26 pengimbas suhu badan yang ditempatkan di pintu masuk negara, menjadikan jumlah keseluruhan ialah 80 berbanding 54 sebelum ini.

    WHO mengumumkan COVID-19, yang bermaksud ‘Penyakit Virus Korona‘ sebagai nama rasmi novel koronavirus 2019.

    Dr Dzulkefly berkata ujian terhadap 550 kontak rapat dan mereka yang bergejala di 18 makmal awam di negara ini mendapati 18 disahkan positif bagi COVID-19.

  • 13 Februari

    Satu lagi kes positif COVID-19 dicatat, menjadikan jumlah keseluruhan di negara ini meningkat kepada 19. Kes terbaharu membabitkan seorang wanita warga China berumur 39 tahun, rakan kes ke-14 dan anak kes ke-16.

  • 14 Februari

    Tiga lagi diuji positif COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan 22. Tiga kes terbaharu membabitkan seorang lelaki dan seorang wanita warga China serta seorang wanita warga Amerika Syarikat berumur 83 tahun, yang merupakan antara penumpang kapal persiaran yang singgah di Kemboja pada 13 Feb.

    Dr Mahathir selaku Perdana Menteri Interim, mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bagi menangani ekonomi daripada kesan penularan COVID-19.

  • 28 Februari

    Kes baharu COVID-19 di negara ini bertambah tiga, menjadikan jumlah pesakit yang disahkan positif 25 orang, dengan 22 sembuh dan dibenarkan keluar hospital.

    Pesakit ke-23 adalah wanita rakyat Malaysia yang kembali ke tanah air dari Jepun, pesakit ke-24 seorang wanita Jepun berusia 41 tahun dan bekerja di Malaysia manakala kes ke-25 lelaki Itali berusia 54 tahun yang berkahwin dengan rakyat Malaysia dan tinggal di negara ini.

  • 1 Mac 2020

    KKM mengesahkan empat lagi kes positif jangkitan COVID-19 di negara ini, menjadikan jumlah keseluruhan 29 kes.

    Kes ke-26 adalah berusia 52 tahun dan mempunyai sejarah perjalanan ke Shanghai, China pada pertengahan Januari, kes ke-27 adalah jururawat pelatih wanita berusia 20 tahun yang menjalani latihan sangkutan jangka pendek di hospital swasta yang merawat kes ke-24 manakala kes ke-28 adalah lelaki berusia 45 tahun, rakan sekerja kes ke-25 dan kes ke-29 pula membabitkan wanita berusia 35 tahun yang dimasukkan ke sebuah hospital swasta pada 21 Februari.

  • 3 Mac

    KKM mengesahkan tujuh kes positif COVID-19 membabitkan warga tempatan menjadikan jumlah terkini ialah 36. Semua kes baharu adalah kontak rapat kepada kes positif ke-26 pada 29 Februari.

  • 4 Mac

    Sebanyak 14 kes baharu COVID-19 dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif di Malaysia meningkat kepada 50. Kes positif COVID-19 ke-31 hingga ke-50 adalah kontak rapat bagi kes ke-26.

  • 5 Mac

    Lima lagi individu disahkan positif COVID-19, dikenal pasti sebagai kontak rapat kes ke-26, menjadikan jumlah kumulatif positif virus itu kepada 55.

  • 6 Mac

    Sebanyak 28 individu disahkan positif COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif 83 kes.

  • 7 Mac

    Sebanyak 10 kes baharu COVID-19 dilapor, menjadikan jumlah kumulatif 93.

  • 8 Mac

    Enam kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif positif COVID-19 kepada 99 kes. Semua kes adalah kontak rapat kluster kes ke-26.

  • 9 Mac

    Sebanyak 18 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif positif COVID-19 di Malaysia ialah 117. Satu daripada kes baharu, iaitu kes ke-101 membabitkan seorang lelaki yang pulang dari Iran.

  • 10 Mac

    Sebanyak 12 kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia setakat ini 129. Kes positif membabitkan pesakit dalam siasatan (PUI) jangkitan COVID-19, kontak rapat dan anggota Misi Bantuan Kemanusiaan.

  • 11 Mac 2020

    Sebanyak 20 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan menjadikan jumlah kes kumulatif di negara ini meningkat kepada 149.

  • 12 Mac

    Sembilan kes baharu positif COVID-19 dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif di negara ini ialah 158.

    WHO mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik selepas mengambil kira peningkatan ketara kes di negara selain China.

    Malaysia belum mengalami kes sporadik COVID-19. Kes ke-131 yang sebelum ini dikatakan sporadik tidak tepat setelah siasatan lanjut yang dijalankan KKM mendapati pesakit adalah antara peserta perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling pada 27 Februari hingga 1 Mac.

  • 13 Mac

    Sebanyak 39 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif di negara ini meningkat kepada 197. Daripada kes itu, sebanyak 38 dikesan dalam kalangan PUI jangkitan COVID-19 manakala satu kes adalah kontak rapat dan empat kes dilaporkan memerlukan bantuan pernafasan serta ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan diberi rawatan anti-viral.

  • 14 Mac

    Sebanyak 41 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 238. Semua kes baharu dikaitkan dengan kluster perhimpunan tabligh membabitkan 37 kes PUI manakala empat lagi adalah kontak rapat.

  • 15 Mac

    Sebanyak 190 kes baharu dilaporkan positif COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 428 kes. Berdasarkan siasatan awal, kebanyakan kes baharu adalah berkaitan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling.

  • 16 Mac

    Sebanyak 125 kes baharu dilaporkan positif COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 553. Sejumlah 95 daripada 125 kes baharu dikaitkan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling.

    Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari bermula 18 Mac hingga 31 Mac.

    Sumber kronologi 23/01/2020 – 16/03/2020: Berita Harian

  • 18 Mac hingga 31 Mac

    Perintah Kawalan Pergerakan

  • 1 April hingga 14 April

    Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan selama 14 hari

Coronavirus, seven steps to prevent the spread of the virus – World Health Organization

Pengumuman Khas YAB Perdana Menteri berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac 2020

Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan sehingga 14 April 2020

Soalan Lazim (FAQ’s) Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (Movement Control Order) – Dikemaskini

1. Nama Perintah
Perintah Kawalan Pergerakan (Movement Control Order).

2. Tempoh Masa
Perintah ini berkuatkuasa dari 18 – 31 Mac 2020.

3. Liputan Kawasan Perintah
Perintah ini terpakai di seluruh Malaysia.

4. Kuatkuasa Undang-undang
Perintah ini disandarkan pada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

5. Arahan-Arahan dalam Perintah Kawalan Pergerakan
Terdapat 6 arahan yang terkandung dalam Perintah Kawalan Pergerakan ini iaitu:

  1. Larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya;
  2. Sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara;
  3. Sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara;
  4. Penutupan semua Taska, Sekolah Kerajaan dan swasta dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti;
  5. Penutupan semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan Swata serta Institut Latihan Kemahiran di seluruh negara; dan
  6. Penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (essential services).

6. Adakah Majlis Keraian/ Perkahwinan/ Kenduri atau sebagainya boleh diadakan?
Sebarang majlis resepsi adalah TIDAK DIBENARKAN.

7. Adakah Perintah Kawalan Pergerakan mempunyai tempoh waktu tertentu sepanjang 18 – 31/3/2020?
Perintah ini berkuatkuasa setiap masa tanpa tempoh waktu tertentu.

8. Sekiranya barang keperluan habis, adakah boleh keluar membeli dan terus balik?
Ya.

9. Saya merupakan seorang warganegara Malaysia dan suami saya merupakan warganegara UK. Adakah kami dibenarkan pulang ke Malaysia dalam tempoh sekatan ini?
Boleh dengan syarat pasangan boleh membuktikan kesahan perkahwinan tersebut sama ada didaftarkan dengan Kerajaan Malaysia atau Kerajaan negara asal. Pasangan perlu melaksanakan pemeriksaan kesihatan dan kuarantin secara sukarela (self quarantine) bagi mengurangkan kebarangkalian dijangkiti atau menyebarkan jangkitan kepada orang lain.

10. Anak saya yang merupakan seorang pelajar di institusi luar negara. Adakah beliau dibenarkan pulang ke Malaysia?
Dibenarkan. Mana-mana rakyat Malaysia yang sedang berada di luar negara boleh pulang dalam tempoh sekatan ini. Walau bagaimanapun, individu tersebut perlu melaksanakan pemeriksaan kesihatan dan kuarantin secara sukarela (self quarantine) bagi mengurangkan kebarangkalian dijangkiti atau menyebarkan jangkitan kepada orang lain.

11. Saya merupakan pemegang pas jangka masa panjang di Malaysia dan telah pulang ke negara asal saya sebelum Perintah ini dikeluarkan. Adakah saya dibenarkan untuk kembali ke Malaysia bagi tujuan kerja semasa tempoh sekatan ini?
Hanya migran asing yang bekerja di dalam sektor perkhidmatan penting negara (essential services) sahaja yang dibenarkan masuk semula ke Malaysia dalam tempoh sekatan ini. Migran asing tersebut perlu mendapatkan satu surat pengesahan daripada majikan masing – masing dan perlu dikemukakan kepada Jabatan Imigresen Malaysia semasa berada di pintu masuk.

12. Saya bekerja di Singapura. Adakah saya dibenarkan untuk berulang alik ke pejabat di Singapura?
Tidak. Perintah Kawalan Pergerakan adalah terpakai kepada semua individu yang berada di dalam negara. Dalam hal ini, atas dasar keselamatan komuniti, mana-mana individu yang bekerja di negara jiran tetapi tinggal di Malaysia adalah tidak dibenarkan untuk keluar masuk secara harian dan dipohon untuk memaklumkan kepada majikan masing – masing berkenaan perkara ini.

13. Saya telah membuat perancangan untuk bercuti di Malaysia dan telah membuat pembayaran sepatutnya. Adakah saya masih boleh meneruskan percutian saya?
Di bawah Perintah Kawalan Pergerakan, orang ramai dilarang untuk pergi ke mana-mana tempat termasuklah pusat peranginan untuk aktiviti sosial dan sekiranya kunjungan tersebut tidak melibatkan perkara yang berkaitan dengan perkhidmatan penting negara. Anda dinasihatkan tidak meneruskan percutian anda.

14. Bolehkah saya memandu ke lapangan terbang untuk mengambil rakan yang baru pulang dari luar negara atau saudara yang bekerja dalam sektor berkaitan perkhidmatan penting negara?
Pergi ke satu tempat dengan cepat dan ringkas adalah dibenarkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan.

15. Adakah sekolah perlu melaksanakan kelas ganti?
Tidak perlu.

16. Adakah kelas pengajian dan semua aktiviti yang melibatkan pelajar IPT awam dan swasta serta Institut Latihan Kemahiran tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan?
Ya.

17. Bagaimana dengan pelajar yang menginap di fasiliti IPT awam dan swasta khususnya pelajar luar negara?
Semua pelajar IPT awam dan swasta perlu diarahkan kembali ke kediaman masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Pelajar luar negara dinasihatkan pulang ke negara asal dalam tempoh ini. Pelajar yang pulang ke negara asal tidak dibenarkan kembali ke Malaysia sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa. Pelajar asing yang mengambil keputusan untuk terus berada di negara ini dan menginap di fasiliti IPT awam dan swasta perlu melapor kepada pihak pengurusan IPT dan tertakluk kepada Perintah yang berkuatkuasa.

18. Adakah kedai makanan seperti makanan segera, restoran atau pusat makanan penjaja boleh dibuka?
Kedai makanan boleh dibuka tetapi hanya untuk makanan yang dibawa pulang sahaja atau melalui perkhidmatan penghantaran oleh syarikat tertentu seperti Grab Food atau Food Panda.

19. Adakah pengangkutan awam seperti Bas, LRT, MRT, KTM boleh beroperasi?
Semua perkhidmatan pengangkutan awam diteruskan dalam tempoh perintah kawalan ini berkuatkuasa.

20. Saya telah membayar penginapan saya di hotel untuk bercuti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan. Adakah saya boleh meminta wang saya dikembalikan?
Orang ramai digalakkan untuk berbincang terus dengan pihak hotel dalam urusan pengembalian wang yang telah dibayar bagi tempahan yang telah dibuat sebelum Perintah ini diumumkan.

21. Sekiranya berlaku kematian di rumah (bukan pesakit Covid-19), adakah solat jenazah dan tahlil dibenarkan?
Boleh diuruskan dengan waris terdekat sahaja bersama khariah masjid/surau sahaja. Solat jenazah sahaja tanpa tahlil.

Photo by cottonbro on Pexels.com
Photo by cottonbro on Pexels.com

Lain-lain yang berkaitan dengan “Covid-19”

Sumber

Kementerian Kesihatan Malaysia, Wikipedia, World Health Organization, Pejabat Perdana Menteri, Harian Metro Youtube, Outbreak.MY, Worldometer