Hari ini, anak-anak begitu mengenali dan mengetahui banyak perkara di dalam dunia ini. Tetapi yang sangat menyedihkan, anak-anak tersebut tidak mengenali Allah.
Tertarik dengan tazkirah Jumaat yang disampaikan hari ini, tentang bagaimana mendidik anak agar menjadi anak yang soleh. Al fadhil ustaz menerangkan bahawa, hari ini kita telah agak tersilap meletakkan keutamaan ilmu kepada anak-anak kita, hinggakan semulia-mulia ilmu iaitu ilmu mengenal Allah diletakkan pada tempat yang paling akhir sekali diajarkan kepada anak-anak.
Anak-anak diajarkan banyak tentang keduniaan, maka jadilah anak-anak itu orang yang alim tentang keduniaan dan jahil dengan akhiratnya. Bersama-sama kita muhasabah diri, kerana apa yang terjadi kepada anak-anak kita itu banyak berpunca daripada kita sendiri yang tersalah dan tersilap dan menyusun keutamaan ilmu untuk anak-anak.
Ingatlah, ilmu yang paling utama perlu diajarkan kepada mereka ialah ilmu mengenal Allah dan ilmu mengenal Nabi Muhammad ﷺ, agar terbitlah cinta kepada Allah dan cinta kepada Rasul ﷺ. Semoga anak-anak tersebut menjadi anak yang soleh dan solehah yang bakal mendoakan ke atas kita selepas kematian kita kelak.